AB, Kejora bangunkan Desa Impian

08 Mar 2018

 

KOTA TINGGI 7 Mac - Golden Envoy Sdn. Bhd. (GESB), anak syarikat milik penuh Avillion Berhad (AB) akan membangunkan satu kawasan di Bandar Tenggara de­ngan projek pembangunan.

Pembangunan terbahagi kepada empat fasa di kawasan seluas kira-kira 66.7 hektar itu dilakukan secara usaha sama dengan pemilik tanah, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora).

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AB, Amirul Baharom berkata, pembangunan kawasan dikenali sebagai Desa Impian itu mencakupi beberapa jenis rumah kediaman serta bangunan komersial.

“Sejumlah 156 unit rumah teres satu tingkat dan 26 unit kedai satu tingkat dalam fasa pertama berjaya disiapkan dan habis dijual.

“Kini GESB akan mula membangunkan Fasa 2A yang me­ngandungi 52 unit rumah kedai satu tingkat serta 50 unit rumah teres satu tingkat.

“Sejumlah 45 daripada 50 unit rumah teres bakal dibina dalam fasa ini akan dijual kepada kakitangan kerajaan melalui skim Unit Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Kejiranan Desa Impian yang disempurnakan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique di Bandar Tenggara, dekat sini, baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar Kejora, Norazman Othman dan Pengerusi GESB, Tan Sri Datuk Dr. Samsudin Hitam.

Amirul berkata, sejumlah 50 peratus atau 26 unit lot kedai yang dibina dalam fasa berkenaan dirizab­kan kepada pembeli bumiputera.

Beliau memberitahu, pembinaan 52 unit rumah teres satu tingkat dalam Fasa 2B pula akan menyusul selepas pembangunan fizikal di Fasa 2A disiapkan.

Menurutnya, bagi pembangunan Fasa 3 Desa Impian, GESB berharap dapat membina 119 unit teres, 130 rumah kos sederhana dan 18 unit rumah kedai kos sederhana.

“Bagaimanapun, jumlah rumah teres milik bakal dibina dalam Fasa 3 itu, bergantung kepada keputusan dan perkiraan kerajaan negeri. Pada masa sama, GESB turut merizabkan sebahagian tanah dalam Desa Impian itu sebagai tapak sekolah rendah, sekolah agama, surau, klinik serta taman permainan,” ujarnya.

Pembangunan Desa Impian yang keseluruhannya membabitkan kos antara RM250 juta hingga RM300 juta itu katanya, dijangka disiapkan sepenuhnya dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.